Loading...

Wednesday, July 01, 2009

Pelajar baru sesi 2009/10

An Oxford degree ceremony — the Pro-Vice-Chanc...Image via Wikipedia

Minggu ini merupakan minggu pendaftaran bagi pelajar-pelajar baru di IPTA tempatan. Saat pendaftaran kemasukkan ke universiti merupakan suatu detik yang ditunggu-tunggu bagi mereka yang layak, setelah berhempas pulas belajar di peringkat sekolah. Ibu bapa dan keluarga akan mengiringi anak mereka mendaftarkan diri sambil berpeluang untuk meninjau-ninjau tempat yang bakal didiami oleh anak mereka selama 3 hingga 4 tahun mendatang.

Dalam masa yang sama, senior-senior yang telah tamat pengajian akan berkira-kira untuk memulakan hidup baru dan melangkah ke alam pekerjaan. Begitulah lumrah dunia, ada yang datang dan pergi.

Dunia pelajar di IPTA adalah suatu kehidupan yang cukup unik dan menarik. Pelbagai kenangan pahit dan manis tersimpan dalam kamus hidup mereka.

Semasa saya pulang dari Jakarta kelmarin, saya bertemu dengan bekas pelajar saya yang kebetulan menaiki pesawat yang sama dengan saya. Dia sekarang bekerja dengan Petronas. Saya bertanya kepada apa perasaannya sekarang(dunia pekerjaan), dengan sepontannya dia menjawab, dunia belajar adalah lebih indah baginya.

Berbalik kepada cerita belajar baru tadi, kepelbagaian latar belakang para pelajar membuatkan masing-masing cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Mereka yang datang dari kawasan luar bandar akan cuba untuk meniru pelajar-pelajar dari bandar, pelajar-pelajar sekolah agama mungkin akan terpengaruh dengan kehidupan pelajar aliran kebangsaan dan begitulah sebaliknya. Pendedahan kemudahan ict yang disediakan di universiti akan mempercepatkan proses ini. Bagi mereka yang tipis pegangan agama dan tiada jati diri, amat malanglah jika mereka mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak sihat.

Pelajar-pelajar baru ini biasanya agak mudah terpengaruh dengan senior-senior mereka. Mereka akan melihat pelajar senior sebagai model kehidupan mereka di kampus. Maka disinilah letaknya peri penting perlakuan para senior dalam membentuk masyarakat kampus. Mereka harus menunjukkan sikap dan tauladan yang baik kepada pelajar-pelajar baru. Janganlah pula mereka mengambil kesempatan diatas kedaifan pelajar-pelajar baru tersebut, ibarat kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi.

Selamat mendaftar.



Reblog this post [with Zemanta]

No comments: