Image by Oberazzi via Flickr
Kejayaan dan kegagalan adalah suatu anugerah yang telah ditentukan oleh Allah. Semuanya ini telah ditentukan oleh Allah dan kita hanya perlu berusaha. Kita tentu gembira bila diberi sesuatu kejayaan dan begitu juga sebaliknya kita biasanya akan kecewa bila menemui sesuatu kegagalan. Kadang kala kita tidak menyedari bahawa kejayaan yang kita perolehi itu adalah suatu ujian yang Allah berikan kepada kita. Kita mungkin hanyut dan lalai dengan kejayaan kita itu. Akan timbul rasa riak, bangga diri dan sifat angkuh dengan kejayaan kita itu. Kita juga kadang kala tidak sedar bahawa kegagalan kita itu sebenarnya tanda Allah kasih dan sayang kepada kita. Ia juga mungkin suatu hikmah yang Allah kurniakan. Kegagalan kita itu mungkin akan menyebabkan kita merasa rendah hati kita, rasa kecilnya keupayaan kita berbanding dengan kekuasaan Allah. Suatu kegagalan mungkin akan diikuti oleh seribu lagi kejayaan.Apalah ertinya suatu kejayaan jika tidak di iringi dengan rasa taqwa dan semakin tunduk dan patuh kita kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah. Kejayaan akan tidak bererti jika kita tidak kembalikanya kepada Allah dalam bentuk amalan dan ibadah kepadaNya. Kejayaan itu mungkin suatu fitnah yang boleh merosakkan kehidupan kita.
Kejayaan dan kegagalan bukanlah faktor penentu segalanya dalam hidup kita yang singkat ini. Ramai orang yang gagal dalam kehidupan dunia tetapi dia memperolehi kebahagiaan hidup. Hubungan dengan Allah atas sesuatu keputusan yang diperolehinya akan mendekatkan dirinya kepada Allah dan akan meningkatkan ketaqwaannya.
Allah tidak memandang sejauh mana kita berjaya tapi Allah memandang sekuat mana usaha yang kita telah lakukan. Tingkatkan usaha kita dan kembalikanlah keputusan kepada Allah. Dia adalah pencipta kita dan Dia maha tahu atas segala sesuatu.
...dan kita amat kerdil di dunia ini...
No comments:
Post a Comment